Bagaimana Enjin Carian Berfungsi?
- Julmazli Dempollok Menulis Dalam Kategori: SEO
ENJIN carian menjadi antara aspek penting dalam kehidupan moden kini. Hampir rata-rata orang pernah mendengar Google, Yahoo, Bing, Websearch dan lain-lain. Tetapi tidak semua orang sedar bahawa itu semualah yang dipanggil sebagai enjin carian itu.

Boleh dikatakan setiap kali memasuki Internet pasti kita tidak terlepas daripada menggunakan enjin carian tetapi tahukah anda bagaimana enjin carian berfungsi?
Sebenarnya ia agak kompleks. Melibatkan terlalu banyak logaritma matematik dan beribu signal. Signal-signal ini pula dibahagikan kepada berpuluh kategori utama. Dan kategori ini pula di dibahagikan kepada On page dan Off page SEO. Pemberatan dan peratusannya juga tidak sama.
Secara mudahnya, enjin carian berfungsi dengan menggunakan tiga komponen utama yakni crawling, indexing dan ranking.
Crawling
Anda mungkin pernah mendengar ‘spiders’ yang melakukan web crawling. Ia sebenarnya adalah cebisan kod komputer yang berfungsi mencari informasi, membacanya dan tanpa rasa penat bergerak daripada satu laman ke satu laman di seluruh Internet.
Spider ini akan kembali secara berkala ke laman web anda untuk melihat jika ada perubahan yang berlaku misalnya post baharu atau struktur laman web anda berubah. Jika spiders ini tidak dapat melihat atau membaca kandungan web anda atau mungkin tidak dapat memahaminya ini akan menyebabkan laman atau post anda tidak dapat diindex.
Indexing
Spider bukan sahaja mencari kandungan bahkan menyimpannya ke dalam pengkalan data gergasi. Penyimpanan data inilah yang dipanggil sebagai indexing itu.
Menjadi matlamat spider untuk menyimpan setiap satu daripada kandungan web yang di-crawl-nya agar menjadi manfaat untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang. Inilah keputusan yang akan disajikan kepada pencari yang menaip carian di enjina carian.
Ranking
Aspek terakhir dan mungkin paling kritikal bagi teknologi carian adalah bagaimana enjin carian menentukan hasil carian yang paling munasabah (releven) untuk dipersembahkan kepada pencari maklumat. Ini dilakukan dengan menggunakan software khas yang diprogramkan dengan set-set peraturan tertentu yang begitu kompleks. Penentuan kemunasabahan inilah yang dipanggil ranking itu.
Inilah secara asasnya, tiga komponen utama dalam fungsi enjin carian. Untuk mendalamai setiap daripada ini memang agak sukar untuk dilakukan, memandangkan kebanyakan daripada maklumat penting berkaitan tidak begitu banyak didedahkan oleh enjin-enjin carian terutamanya yang paling lazim kita gunakan – Google.





