Barisan Nasional Vs Pakatan Rakyat: Siapa Pemenang PRU-13?
- Julmazli Dempollok Menulis Dalam Kategori: Umum dan Relaks
SEHINGGA tarikh post ini diterbitkan, tarikh sebenar Pilihanraya Umum ke-13 atau PRU-13 masih lagi tidak diketahui secara tepat. Rakyat masih bermain andaian dan mengeluarkan spekulasi berdasarkan petunjuk yang masing-masing perolehi. Andaian yang paling lazim sudah pastilah tentang siapa pemenang PRU-13 kali ini..

Blog ini pula lazimnya tidak memperkatakan sebarang isu politik sebelum ini dan begitu juga pada masa hadapan. Tulisan ini juga bukan tentang mana-mana isu politik semasa. Apa yang ingin dibualkan pada kali ini hanyalah bincangan biasa sesama rakyat. Lebih sesuai dipanggil percambahan pendapat.
Juga bukan bertujuan menyebelahi mana-mana pihak. Bak kata orang – undi adalah rahsia. Jadi boleh saja ‘lain di mulut, lain di hati’. Itu lumrah. Tiada apa-apa yang perlu dipertikai tentang ini.
Malaysia sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk memilih mana-mana parti politik yang ingin disokong. Itu hak individu. Bahkan sebuah negara demokrasi yang tulen mengalu-alukan kehadiran pembangkang. Ia tidak salah. Ia tidak pelik. Ia adalah salah satu daripada petunjuk aras kematangan dalam sesebuah negara bangsa.
Ia ibarat dua orang kawan. Si A dengan si B. Jika si A yang sedang memerintah dan melakukan kesilapan, maka si B berkewajipan menegurnya. Andai si B pula yang memerintah dan terlupa akan sesuatu, sudah pasti si A menjadi pihak yang meningatkan. Begitulah secara ringkas fungsi, keperluan dan perkaitan pihak pemerintah dan pembangkang.
Sebab itulah wujudnya parlimen yang menjadi medan perdebatan, perbincangan, musyawarah semua rakyat melalui wakil-wakil yang dipilih oleh mereka (yang lebih sering kita panggil ahli parlimen).
Mengulas sedikit perkembangan berpolitik di Malaysia, saat ini terdapat dua buah parti besar yang wujud dan memberikan warna-warna terang dalam iklim politik kita yakni Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Barisan Nasional atau BN adalah parti memerintah yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan beberapa parti komponen lain. Sementara Pakatan Rakyat atau PR dianggotai oleh parti PKR, PAS dan DAP.
BN diterajui oleh Dato’ Seri Najib Razak daripada parti UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia saat ini. Manakala PR dikepalai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada PKR.
Di samping dua parti utama ini, ada beberapa lagi parti-parti kecil lain di seluruh negara. Ini sebenarnya suatu perkembangan sihat dan normal. Ini menandakan setapak lagi kemajuan negara kita dalam berpolitik. Kita semua sebagai rakyat mengalu-alukan keadaan ini. Asal saja kesemua parti yang ada di negara ini mengamalkan konsep berpolitik yang telus, bersih, berdisiplin dan mengutamakan keamanan.
PRU-13 kali ini amat menarik untuk kita teliti. Pihak pembangkang membawakan beberapa isu seperti rasuah, ketirisan dalam pengurusan perbelanjaan negara, kenaikan harga barang dan satu dua lagi yang menjurus kepada kebaikan bersama. Di pihak kerajaan pemerintah pula, pastinya agenda pembangunan, transformasi nasional, kebajikan rakyat dan pelbagai perkara lagi utarakan. Ini semua akan memudahkan rakyat jelata membuat pilihan.
Kepada anda yang ingin mengikuti perkembangan politik semasa dengan lebih jelas dan mengetahui isu semasa dengan lebih rapat, suka saya mencadangkan agar anda mendapatkan sudut pandang daripada kedua belah pihak agar pandangan tidak terlindung. Agar lebih rasional, agar dapat membanding beza, juga agar tidak berat sebelah. Akhbar online seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Keadilan Daily dan Harakah Daily boleh anda jadikan bacaan harian. Tidak rugi pun membaca kerana bukan sahaja ia mengisi masa lapang bahkan menambah pengetahuan. Seperti kata pendeta Za’aba – membaca itu pelita ilmu.
Terlanjur panjang pula post kali ini, sebenarnya tujuan asal saya hanya ingin bertanya dan bertukar pendapat mengenai – Barisan Nasional lawan Pakatan Rakyat: siapa pemenang PRU-13 kali ini? Pastinya anda punya pandangan yang lebih menarik. Kongsikan di ruangan komen di bawah.
Cuma suka diingatkan, sebarang pandangan yang dilontarkan haruslah dengan hikmah dan kebijaksanaan. Budaya berpolitik caci-maki atau tuduh menuduh kalau boleh, tidak harus menjadi amalan kita.






mat merapu 24th February 2012 10:04 am
BN dijangka akan dapat mengekalkan kuasa pada PRU 13 kelak. Namun, BN menghadapi laluan sukar untuk memperolehi kemenangan majoriti 2/3 di Parlimen. Negeri Kedah, P.Pinang, Selangor dan Kelantan mungkin kekal diperintah PR malah PR turut mempunyai peluang besar di Perak dan Negeri Sembilan. BN dijangka berjaya menang di antara 135 – 140 kerusi Parlimen (kurang 8 ke 13 kerusi untuk majoriti 2/3). Faktor calon yang diterima pengundi amat penting. Kemenangan “Perang Persepsi” akan menjadi pemangkin kepada kejayaan, perangsaraf memainkan peranan utama dalam aspek ini.
[Balas]