Si Tukang Servis Air-Cond
- Julmazli Dempollok Menulis Dalam Kategori: Suka-Suka
AKU balik daripada kerja..
Alhamdulillah satu lagi hari daripada sekian hari-hari telah disudahkan. Walaupun tidaklah sesempurna mana kerja yang dilaksanakan hari ini tetapi mana-mana kekurangan yang ada diniatkan di dalam hati untuk diperbaiki keesokkan harinya pula.

Gila panas hari ni. Aku mendaki bukit perlahan-lahan. Sengatan mentari pukul 1.20 petang semakin mengigit kulit sehingga menembusi ke liang-liang romaku. Meninggalkan bekas gelap di kulit putihku (tak putih mana pun sebenarnya). Haha..
Semakin ke puncak, semakin lambat langkah kaki aku hayunkan. Dengan bersusah-payah akhirnya tiba jua ke kawasan yang paling tinggi bukit tersebut. Nun di hadapan, kira-kira kurang daripada 15 meter kelihatan keretaku menanti. Ia diletakkan di kawasan yang agak semak tetapi malangnya tidak pula terlindung oleh sebarang rimbunan kekayu hidup.
Enjin kereta dihidupkan. Sejurus kemudian, air-cond dipasangkan. Beberapa minit berlalu, menantikan suhu di dalam kereta turun. Hampir 7 minit dan bahang di dalam kereta masih juga tidak berubah. Alamak.. Air-cond dah habiskah? Matilah. Sudahlah badan memang tengah bermandi peluh.
Pintu ditutup. Cermin tingkap di kedua-dua pintu hadapan diturunkan. Minyak pun ditekan. Keretaku hanya mampu bergerak perlahan sekitar 30km/j (paling laju) dek kerana jalan ulang-alik ke tempat kerjaku penuh dengan lubang akibat lopak yang dibentuk ketika hari hujan. Lagi-lagi sepanjang jalan bukannya berturap dan hanya dituang batu-batu kerikil. Hal ini bukan tidak pernah disuarakan ke pengetahuan wakil rakyat. Tapi soal-soal politik ini bukan cerita kita kali ini.
Dengan kelajuan sebegini, ia tidak akan mampu membuang bahang yang terkumpul di ruang dalam kenderaan yang terjemur setengah hari ini. Jadi terpaksalah bermandi peluh lagi sehingga tiba ke bahagian jalan yang lebih elok (yang boleh memecut sedikit). Aku berazam untuk memeriksa sistem penghawa dingin kereta hari ini juga! Tak boleh tahan macam ni. Barangkali kandungan cecair air-cond sudah hampir habis atau terdapat masalah pada kipas. Mungkin juga saluran gas bocor. Itulah antara andaian yang bermain dibenakku sambil tangan mengesat titisan peluh yang hampir menutupi pandangan mataku.
Dipendekkan cerita, aku tiba ke bengkel kesukaanku. Aku bergegas mendapatkan mekanik peribadiku. Seorang apek lebih separuh umur yang tidak memakai baju. Beliau sedang tertunduk-tunduk membuat kerja di bahagian tayar hadapan sebuah kenderaan pacuan empat roda..
“Chip.. Sini boleh check air-cond ka?”
“Oo.. Itu sana ada check. Jalan lalu itu jembatan besi. Simpang kanan. Ada banyak rumah sewa.”
“Ok chip. Terima kasih!”
Aku menaiki kereta lagi dan menuju ke tempat yang diberitahu. Kelihatan tukang air-cond yang dimaksudkan sedang memeriksa sebuah Produa Viva. Aku mematikan enjin. Duduk di bangku yang disediakan sementara menanti beliau menghabiskan kerja yang pada pandanganku pasti tidak memakan masa yang terlalu panjang. Si tukang air-cond menyapaku sebentar kemudian meneruskan kembali kerjanya.
Patutlah chip kata tadi ‘ada rumah sewa’. Rupanya tukang air-cond ini memang merupakan salah seorang penyewa di kawasan ini. Bengkel kecil servis air-cond ini dibina di rumah yang beliau sewa. Pemuda cina tukang air-cond ini pada jangkaanku pasti berumur sekitar 35 ke atas tetapi belum mencapai 40.
Seorang nenek tua (nyonya) muncul di muka pintu dengan berkerusi roda. Aku tersenyum kepadanya. Dia membalasnya sambil mengangguk tanpa berkata apa-apa. Barangkali itu bererti ucapan selamat datang. Aku turut mengangguk sama. Kemudian nanti baharulah aku ketahui bahawa nenek ini pernah diserang strok sehingga mengakibatkan lumpuh.
Tidak berapa lama kemudian, si tukang air-cond selesai menyiapkan kerja-kerjanya. Upah yang dijelaskan oleh pelanggan dihulurkan kepada ibunya. Beliau menuju kepadaku..
“Kenapa bos?”
“Ini, air-cond tidak jalan. Cuba check, tengok apa masalah.”
“Ok.. Ok. Tiada masalah.”
Dia mengambil perkakasannya dan mulai membuat pemeriksaan persis seorang doktor pakar yang membuat diagnosis ke atas pesakit. Tangannya lincah bergerak ke sana kemari. Sekejap mencangkung, berdiri dan tunduk. Sebentar masuk ke dalam kereta, sebentar lagi ke bahagian enjin. Menurutnya kipas air-cond tidak berfungsi. Lagipun gas sudah hampir habis.
Semasa beliau membuat kerja, aku bertanya pelbagai soalan yang patut dan kurang patut. Maklumlah ingin juga mempelajari sedikit sebanyak cara membaiki kenderaan dengan sendiri. Boleh juga berjimat. Di situlah aku mengetahui bahawa itu adalah ibunya dan masih belum sihat sepenuhnya. Beliau memang kerja di bandar sebelum ini dan pulang ke kampung kerana mahu menjaga ibunya.
Setelah semuanya dibaiki, aku bertanyakan upah. Nampaknya ia memang sungguh berpatutan berbanding beberapa tempat yang aku kunjungi sebelum ini. Aku membayar upahnya. Si tukang air-cond menyambutnya lalu menyerahkan sekali lagi kepada ibunya yang berada di muka pintu yang masih setia menemani kami sedari tadi.
Aku menghidupkan enjin. Memastikan semuanya berfungsi dengan baik dan betul. Hon dibunyikan dan aku memandu pergi menghala ke jalan pulang. Kerosakan air-cond yang berbaloi. Bukan sahaja aku dapat mempelajari beberapa ilmu baharu bagaimana membaiki air-cond bahkan menyaksikan satu suri teladan yang amat elok untuk diikuti. Aku teringat mak yang sedang berada di rumah lalu singgah membeli sedikit buah tangan untuknya di tepi jalan. Hehee..





